Ibu kota Kuala Terengganu

Sebagai ibu negeri Terengganu, bandaraya ini berperanan penting dalam politik dan ekonomi seluruh negeri. Kuala Terengganu merupakan pusat bagi pelbagai agensi, jabatan dan badan kerajaan negeri dan persekutuan, antaranya seperti Jabatan Imigresen dan Kastam, Unit Perancang Ekonomi Negeri, pejabat besar Pos Malaysia, Perpustakaan Negeri Terengganu, dan lain-lain. Memandangkan bandaraya ini merupakan pusat pentadbiran negeri, Wisma Darul Iman, bangunan sekretariat negeri menempatkan Dewan Undangan Negeri Terengganu dan Pejabat Menteri Besar. Istana-istana Sultan Terengganu seperti Istana Badariah dan Istana Maziah turut berada di bandaraya ini kerana Kuala Terengganu juga merupakan bandar diraja.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah membahagikan Kuala Terengganu kepada dua buah kawasan parlimen: P.35 untuk Kuala Nerus, dan P.36 untuk Kuala Terengganu. Terdapat empat buah kawasan undangan negeri untuk setiap parlimen iaitu:[5]

  • P.35 - Kuala Nerus
    • N9 - Tepuh
    • N10 - Teluk Pasu
    • N11 - Seberang Takir
    • N12 - Bukit Tunggal
  • P.36 - Kuala Terengganu
    • N13 - Wakaf Mempelam
    • N14 - Bandar
    • N15 - Ladang
    • N16 - Batu Buruk

Majlis Perbandaran Kuala Terengganu diwujudkan pada 18hb Januari 1979 dengan keluasan 18,712 hektar persegi meliputi 21 mukim, termasuk mukim Bandar Kuala Terengganu. Pada 1 Januari 1985, Mukim Bukit Payong dan Alor Limbat telah dikeluarkan daripada Majlis Perbandaran dan dimasukkan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Marang. Dengan perubahan ini, kawasan baru Majlis Perbandaran telah berubah kepada 16,806 hektar persegi.

Pada 16 Disember 1996, kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Terengganu telah diwarta perluasan meliputi seluruh daerah Kuala Terengganu sebagai kawasan kawalan dengan keluasan 60,528 hektar persegi termasuk sebuah pulau peranginan terkenal iaitu Pulau Redang dan bilangan mukim bertambah menjadi 23 mukim.

Pada 1 Januari 2008, satu pemansyuran telah dibuat bagi mengistiharkan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandaraya. Kuala Terengganu kini telah dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air dan menjadi bandar pertama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang mendapat status bandaraya.

Mukim yang terletak bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ialah:[6]

  • Atas Tol
  • Bandar
  • Batu Buruk
  • Batu Rakit
  • Belara
  • Bukit Besar
  • Cabang Tiga
  • Cenering
  • Gelugur Kedai
  • Gelugur Raja
  • Kepung
  • Kuala Ibai
  • Kuala Nerus
  • Kubang Parit
  • Losong
  • Manir
  • Paluh
  • Pengadang Buluh
  • Pulau Redang
  • Pulau-pulau
  • Rengas
  • Serada
  • Tok Jamal

Berkaitan